Sunday, September 23, 2007

SI TANGGANG






Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.
Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira.
Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.

“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.
Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.
Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.
“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

Diusahakan bersama oleh
NURUL ATIQAH dan NURUL SOFEA
1 SIBER 2007

Monday, September 17, 2007

MAT JENIN

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagaiMat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja. Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan. Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya. Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini. Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti. Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.
Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.
"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin
"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.
Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."
"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.
"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.
" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek." Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.
"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata, "Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?" Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu." Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.
"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi. Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata "Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab "Betul tu cu." Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang." Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu, "Kalau saya tukarkankambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek itu terus menjawab "Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan, "Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti." Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap, "Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!" Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.
Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja. "Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa. "Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking "Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya. Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya MatJenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.

Pengajaran yang didapati ialah:
1.Jangan berangan-angan
2.Buat kerja dengan bersunggug-sungguh
3.Jangan lalai ketika membuat sesuatu pekerjaan.

Diceritakan semula oleh :
Nor Amalina Rahim
1 Siber
SMKKKB